Kisah Di Sebalik Jubah Siti Sarah

 Kisah Di Sebalik Jubah Siti Sarah


Al fatihah buat Allahyarham Siti Sarah

Berkongsi momen menyentap jiwa, Siti Fatimah atau lebih mesra dengan panggilan Makde berkata, arwah memberitahunya mahu berehat pada Ogos.

"Arwah usulkan mencari pengganti yang boleh menggantikan wajahnya dalam tiga produk pada Mei lalu.


"Dia memaklumkan mahu berehat pada Ogos. Perkara ini juga disedari oleh kakitangan syarikat.



"Siapa sangka 'rehat' yang dimaksudkan membawa petanda arwah berehat selama-lamanya," katanya kepada BH Online.


Makde yang juga rakan kongsi perniagaan menerusi syarikat Ratasya Empire Sdn Bhd yang beroperasi di Puchong, Selangor berkata, Nabila Huda antara pilihan arwah untuk dijadikan wajah mewakili rangkaian produknya.



"Arwah dan Nabila sudah bertemu. Malah, saya juga sudah berbincang dengan Nabila mengenai perancangan ini, cuma masih menunggu kata putus.


"Ikut perancangan, arwah berhasrat mengeluarkan produk membantu masalah keputihan wanita," katanya.


Makde turut memuji kemuliaan hati arwah dalam soal bersedekah.


"Sebelum mengeluarkan produk baharu atau apa sahaja perancangan, arwah selalu niat bersedekah kepada mereka yang memerlukan. Itu juga menjadi permintaan arwah kepada saya.


"Arwah minta kakitangan menguruskan sumbangan lampin pakai buang dan susu kepada golongan ibu memerlukan, beberapa bulan lalu.


"Pada satu tahap, saya tidak perlu menunggu arahan arwah dalam soal bersedekah. Saya terus niat sedekah atas nama syarikat. Begitu juga zakat perniagaan diuruskan akauntan.


"Jujurnya, sedekah memudahkan segala urusan perniagaan. Saya nampak magis bersedekah sampai tahap kerosakan produk atau barang yang ditolak berkurangan di kilang," katanya.


Katanya, dia terkejut sambutan luar biasa dan peningkatan jualan daripada perniagaan diusahakan, sejak akhir ini.


"Saya tidak menyangka peningkatan jualan dalam masa sukar ini. Bayangkan, ada ejen tidak aktif kembali rancak menambah produk selepas mendapat permintaan tinggi.


"Paling laris, jubah yang dipakai arwah. Kami ada menambah keluaran pada Aidiladha lalu dan permintaan sangat menakjubkan.


"Ejen memaklumkan ada yang mahu membeli jubah kerana mahu dijadikan kenangan. Ada juga yang membelinya kerana mahu mengikut jejak arwah suka bersedekah," katanya.


Makde mengakui, arwah tidak perlu bersusah payah berniaga kerana suaminya berkemampuan.


Namun, katanya, mengenalinya, dia mahu membantu orang luar menjana pendapatan.


"Jujur, arwah tidak perlu bersusah payah berniaga. Arwah boleh duduk goyang kaki di rumah sambil menguruskan suami dan anak-anak. Jika mahukan apa-apa, insya-Allah Shuib boleh membelikannya.


"Namun, berbalik kepada niat arwah mahu membantu peniaga, jadi tiada siapa mampu menghalangnya," kata Makde.

Catat Ulasan

0 Ulasan