Kedai Ayam Goreng Dalam ‘Rok’

Kedai Ayam Goreng Dalam ‘Rok’

Kedai ayam goreng dalam rok (semak) merupakan tempat makan baharu menjadi perhatian ramai terutama yang meminati ayam goreng.

Kedai makan yang menjual ayam goreng ranggup ini digelar ‘kedai ayam goreng dalam rok’ atau dalam semak berikutan lokasi kedai ini beroperasi di kawasan pedalaman kampung.

Jika mahu ke kedai makan ini, orang ramai perlu melalui jalan kampung yang agak sunyi dan sepanjang jalan banyak semak.

Lokasinya di Kampung Baru Tetambah, Manir.

Memang agak sukar untuk mencari kedai ini yang diusahakan oleh Mohamad Ali Ismail, 51 tahun, kerana jalan masuk ke kampung ini bersimpang siur.

Mula beroperasi sejak 2015, ia mendapat sambutan ramai apabila kedai ini dibuka bermula jam 4.30 petang hingga 2.00 pagi.

Kadang-kala kedai ditutup sehingga jam 6.00 pagi jika terlalu ramai pelanggan.
Menggunakan rempah ratus buatan sendiri, ayam goreng bersadur tepung dan rempah istimewa di sini rasanya lebih sedap berbanding ayam goreng yang dimakan di restoran makanan segera.

Kira-kira 70 hingga 100 ekor ayam digoreng sehari.

Pengusahanya yang mesra disapa ‘Ayah De’ ketika ditemui berkata, dia mengusahakan kedai ayam goreng ini kerana amat menyukai ayam goreng sejak kecil.

Harga seketul ayam goreng dijual RM2.00 hingga RM4.00 mengikut saiz.

Seorang pelanggan, Embang Sofea, 31 tahun, yang sanggup memandu sejauh 50 kilometer dari Kuala Berang ke sini berkata, dia amat berpuas hati dan sudah empat kali datang makan di kedai ini.

BuletinTV3

Catat Ulasan

0 Ulasan