Keunikan Dan Keenakan Seafood Tepi Laut Kampung Senibong, Johor.Segalanya Ada Di Sini

Keunikan Dan Keenakan Seafood Tepi Laut Kampung Senibong, Johor.Segalanya Ada Di Sini


Menikmati makanan laut segar sambil menyaksikan pemandangan laut dan ketenangan pesisir pantai pasti memberi kelainan kepada anda.
Tempat makan yang terletak di pesisir pantai Selat Tebrau yang menghadap Sembawang dan Senoko, Singapura menjadikan restoran di sekitar Kampung Senibong ini lebih terserlah.

                           
Di samping menikmati makanan anda pasti leka melihat keindahan pantai negara seberang. Pemandangan para nelayan yang berulang-alik, feri yang membawa penumpang ke Batam dan kapal-kapal dagang yang berlabuh di situ akan menjadikan kunjungan pengunjung ke premis makanan di sini sesuatu yang cukup istimewa.

Di sini terdapat lebih 10 deretan kedai makan yang menyajikan pelbagai jenis makanan laut yang segar. Berjalan disekitar kawasan ini kadangkala terasa bagai berada di pasar borong, kerana kiri kanan anda terdapat pelbagai jenis longgokkan hasil laut untuk dipilih pelanggan sebelum di masak.

                         

                         
Peniaga restoran masing-masing menggunakan pelbagai strategi untuk memikat pelanggan masuk ke premis mereka. Ada yang menjerit, menyanyi, tidak kurang juga meletakkan banner yang memberikan harga durian runtuh.

                          
Bercerita tentang menu masakan membuatkan sesiapa saja rambang mata untuk memilih. Semua hasil laut seperti udang kara, ketam pelbagai saiz, udang kara, udang kecil, sotong, ikan jenahak, ikan siakap dan macam-macam lagi boleh dibakar, digoreng atau dijadikan variasi lauk.

                          
Antara jenis makanan yang menjadi kemestian untuk dinikmati ialah lala, kijing, sekuci, kepah, beliung, siput gonggong, mentarang dan udang kara. Sudah pasti turut menjadi kegemaran orang ramai ialah ketam, udang, sotong dan pelbagai jenis ikan termasuk kerapu, siakap, merah dan beberapa jenis ikan lain, yang mana kesemuanya diperoleh segar setiap hari daripada para pembekal.

                             
Seperkara lagi yang menjadi tarikan di sini, suasana malam dengan panorama kilauan cahaya neon yang datang dari kawasan Senokor, Singapura, kira-kira lima kilometer dari restoran ini memberi ilusi eksklusif dan istimewa kepada penggemar makanan laut yang menikmati sajian enak di sini.

                            
                           
Mula beroperasi pada pukul 4 petang hingga 2 pagi, semua restoran makanan di sini tidak akan sunyi dipenuhi pengunjung tempatan dan Singapura. Apa lagi, jika anda berada di sini, jangan lupa untuk singgah di Kampung Senibong!

                             
sumber:LIBUR.

Catat Ulasan

0 Ulasan