Rezeki Kopi Gelas Terbalik

Rezeki Kopi Gelas Terbalik

BACHOK: Siapa sangka dengan hanya menampilkan keunikan menikmati kopi dalam gelas secara terbalik, memberi rezeki lumayan buat seorang peniaga apabila mampu menjual 250 hingga 300 gelas kopi setiap hari.

Peniaga, Mohd Fariq Kamil Atan, 35, berkata, idea menyajikan kopi di dalam gelas yang diterbalikkan di atas piring itu ditiru daripada cara hidangan kopi di Indonesia.

Katanya, sebelum ini hanya pelanggan tertentu sahaja yang datang menikmati kopi gelas terbalik itu yang turut dinamakan kopi Tak Tun Tuang sempena lagu popular Indonesia, sebelum keunikan cara menikmati kopi itu tular di laman sosial, minggu lalu.




“Selepas tular, jualan meningkat secara mendadak sehingga saya terpaksa menyediakan 30 hingga 40 kilogram kopi seminggu yang dibeli sendiri dari Sumatera, Indonesia.

Selain keunikan cara minum yang pelik, keenakan rasa asli biji kopi itu yang dibakar dengan pulut hitam juga menyebabkan kopi terbalik mendapat permintaan tinggi pelanggan,” katanya ketika ditemui di kedai makan miliknya di Kafe Mamaza bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Lima, di sini.

Fariq berkata, dia mula menjual kopi terbalik secara tidak sengaja selepas pulang melancong dari Indonesia pada Oktober tahun lalu kerana tertarik dengan cara minuman kopi dijual dengan hidangan gelas diterbalikkan yang banyak dijual di negara itu.

“Saya ketika itu memang sedang mencari kelainan dalam melariskan perniagaan kedai makan dan suka sesuatu yang unik, jadi saya terus minta penjual kopi di situ ajar saya cara membuat kopi terbalik dan sehingga kini akan berulang-alik dua minggu sekali ke sana untuk mendapatkan bekalan kopi,” katanya.

Katanya, kopi terbalik dinikmati dengan cara memusingkan bahagian atas gelas sambil meniup penyedut minuman yang diletakkan di bahagian bawah gelas lalu air kopi akan mengalir keluar dalam piring dan diminum seperti biasa.

Katanya, bagi kopi terbalik, dia menjual kopi O dan kopi susu panas atau sejuk dengan harga RM4 hingga RM4.50 segelas yang dibantu isterinya, Asmaniezazielawaty Ahmad, 37.

“Cara penyediaannya juga menggunakan air didih yang akan membuatkan bijian kopi terapung, jadi jika diminum cara biasa, pelanggan akan terganggu dengan bijian kopi di atas permukaan air kerana itu gelas perlu ditelangkupkan secara terbalik,” katanya yang berniaga kafe sejak 2004.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, selain teknik minum yang istimewa, cara penyediaan kopi terbalik juga cukup teliti dengan bijian itu dibakar tiga hingga empat jam bagi mendapatkan rasa kopi lebih pekat.

Katanya, selain hidangan kopi terbalik, kafe itu turut menyediakan masakan nasi sup, daging legend, telur separuh masak dan roti telur yrang beroperasi setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

sumber:Metro

Catat Ulasan

0 Ulasan